Tuesday, 1 April 2014


KENANGAN bersama Ketua Pramugara pesawat MH370 yang belum ditemui hingga sekarang, Andrew Nari tidak mungkin dapat dilupakan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Datuk Mohamad Din Yusoh.

Meskipun sudah beberapa kali bertemu dengan anak kelahiran Sarawak itu, namun, kenangan sewaktu di Perth, Australia berlainan baginya dan seolah-olah mempunyai kaitan serta petanda akan berlakunya misteri kehilangan MH370.

Ikuti perkongsian cerita Mohamad Din bersama wartawan Sinar Harian, Amran Ali.

MEMANG. Sudah beberapa kali saya bertemu Andrew Nari. Kalau naik kapal terbang ke luar negara, terutama ke Eropah, walau tidak kerap, tetapi agak selalu juga kami sepesawat.

Tapi, kami sekadar membalas ‘hello’ dan senyuman.



Pada 15 November tahun lalu, saya ke Perth, Australia. Saya menggunakan penerbangan MAS, kelas bisnes, bersama seorang rakan bernama Datuk Shamsudin. Dan ketika itu, sekali lagi saya bertemu Andrew.

Kebetulan, sewaktu di Perth, MAS turut menempatkan anak kapal termasuk juruterbang di hotel yang sama tempat saya menginap.

Pada sebelah pagi keesokan harinya, selepas bersarapan, saya pelawa Andrew keluar.

Saya kata pada Andrew, kalau tidak ke mana marilah ke pasar. Kebetulan Shamsudin ada sebuah rumah di Perth. Dia hendak beli ikan untuk dimasak. Andrew menerima pelawaan itu.

Sepanjang perjalanan kami, banyak bercerita. Antaranya cerita bagaimana komitednya Andrew dengan MAS.

Kata Andrew, walaupun umurnya sudah hampir separuh abad, sudah lama berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu, tetapi tidak pernah ada perasaan jemu untuk terus bersama MAS. Malah kata Andrew, semakin hari rasa sayangnya pada MAS semakin menebal.

Saya kata pada Andrew sebenarnya saya pun serupa dengannya. Walaupun tidak bekerja dengan MAS, tapi saya sudah 32 tahun menggunakan perkhidmatan MAS untuk ke seluruh pelosok dunia.

“Ini kerana saya berkecimpung di dalam industri pelancongan. Saya mempunyai agensi pelancongan, awak pun tahu. Jadi semangat saya dengan awak sama, cintakan penerbangan nasional ini,” itu kata saya pada Andrew.
Sepanjang perbualan, Andrew juga ada meluahkan rasa kasih sayangnya terhadap keluarga yang tinggal di Kuching, Sarawak.

Saya tanya Andrew, kenapa tak bawa keluarga ke Kuala Lumpur? Kata Andrew, lebih mudah keluarganya berada di sana, lebih-lebih lagi boleh jaga orang tuanya.

Dari cerita Andrew, saya dapati dia seorang yang amat mengambil berat dan begitu sayangkan keluarganya.

Kejadian pelik

Sewaktu di Perth, kami sempat merakam gambar kenangan bersama sebelum Andrew menyambung penerbangan. Shamsudin ambil gambar kami gunakan kamera saya.

Bila pulang ke tanah air, ketika ingin cuci gambar diambil, tiba-tiba saya tengok kad memori pada kamera hilang. Puas saya cari tetapi tak jumpa.

Anehnya, sebulan selepas itu, saya bermimpi pasal kapal terbang terhempas. Tapi saya tak tahu kapal terbang mana. Dalam mimpi itu, saya nampak kain putih berguguran jatuh dari kapal terbang.

Selang dua minggu selepas itu, sekali lagi saya bermimpi tetapi kali ini mimpi pasal saya bersama Andrew di Perth. Tapi, saya langsung tidak ambil peduli dengan mimpi itu.

Sehinggalah pada 8 Mac lalu apabila Shamsudin menghubungi saya menyatakan ada kapal terbang MAS hilang dari radar dan antara yang berada di dalam pesawat adalah Andrew.

Saya terkejut dan kemudian beritahu Shamsudin tentang kehilangan kad memori kamera saya serta mimpi-mimpi yang saya alami.

Timbul terkilan di hati saya apabila kesemua gambar kenangan bersama Andrew sudah tiada.



Mujur Shamsudin masih menyimpan gambar saya bersama Andrew yang diambilnya dengan menggunakan telefon bimbit, jadi dia terus hantar gambar itu menerusi Whatsapps.

Seperkara lagi, saya tak pernah simpan keratan pas masuk setiap kali ke luar negara, biarpun menggunakan penerbangan kelas pertama.

Tetapi, pulang dari Perth pada November lalu, saya simpan pas masuk tersebut kerana pada masa itu saya mahu sangat menjadikannya salah satu kenangan bersama Andrew, kerana tidak selalu dapat berbual begitu akrab bersamanya.

Baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan beberapa pegawai tertinggi syarikat penerbangan itu. Mereka juga mengakui Andrew adalah seorang kakitangan yang berdedikasi serta setia kepada syarikat sepanjang hampir 25 tahun beliau berkhidmat.

Apapun yang berlaku ke atas MH370 , anak kapal dan penumpang yang ada didalamnya, termasuk Andrew, saya akan terus berdoa moga misteri ini akan terungkai. Moga kesedihan keluarga mangsa dan resah kita semua akan terlerai.

0 comments:

Post a Comment